Saturday, June 25, 2011

anak kecil itu

Anak kecil itu bermain-main dengan rakan-rakan sebaya umurnya. Berlari-lari keliling rumah dan sekali-sekala menjenguk dapur meneguk air tatkala dahaga. Riuh dibuatnya.

''Allahu akbar,Allahu akbar....''
Azan berkumandang.

Riak anak kecil itu kelihatan masih tidak terganggu. Masih dengan rakan sepermainannya. Masih dalam dunia fantasinya. Susuk tubuh lelaki berjubah putih dan berserban muncul. Mengajak kanak-kanak lelaki ke masjid. Menunaikan solat berjemaah bersamanya. Dengan berat langkah, ajakan itu dituruti. Dua kanak-kanak lelaki lalu menyarung jubah dan hilang bersama lelaki pertengahan usia tadi. Mata anak kecil itu hanya memerhati.

Sesudah solat, lelaki berjubah tadi muncul kembali. Beliau duduk bersimpuh sambil membuka kitab, diletak di atas bekas papan. Umpama papan rehal bila mana kanak-kanak belajar mengaji. Cuma ia lebih sesuai untuk bacaan kitab seperti yang akan dimulakan lelaki ini. Seorang demi seorang ahli keluarga duduk sekeliling lelaki tua itu. Raut wajahnya tenang. Anak perempuan di rumah itu segera menyarungkan tudung buat anak kecil yang tidak puas memerhati sejak tadi. Duduk si anak kecil dan menjadi salah seorang di dalam majlis tersebut. Fadhilat-fadhilat amalan dibacakan. Disertakan pula dengan hadis-hadis sahih dari Rasulullah sallallahualaihiwassalam yang disampaikan periwayat-periwayat hadis. Semua mendengar dengan kusyuk. Buat si anak kecil, dia hanya memandang kosong. Apa yang dibacakan? Kenapa tiada yang bersuara melainkan lelaki ini? Tiada yang pasti. Cuma satu yang dia tahu, bacaan ini diamalkan setiap hari bilamana lelaki tua ini ada di rumah.

Usai majlis tersebut, makan malam  dihidangkan. Anak kecil lantas mencabut tudungnya. Dia segera ke dapur mahu duduk makan bersama-sama. Lelaki berjubah putih tadi memandangnya.Anak kecil melarikan matanya. Bila mendongak, dilihat lelaki itu masih memandangnya. Disuruh anak itu memakai tudung tatkala makan bersama-sama. Dicapai tudung polos lalu anak perempuan itu siap tersarung tudung di kepalanya. Sewaktu makan pula, anak ini memandang seorang lelaki dan seorang perempuan makan dalam satu pinggan yang sama. Diperhati wajah-wajah itu lama. Sepupu lelaki dengan isterinya. Pinggan kosong masih ada,kenapa perlu berkongsi?. Tiada jawapan diterima, kerna soalan hanya berlegar di minda anak itu. Segera dihabiskan makanan supaya dapat menonton tv pula selepas makan.

Jarum jam menunjuk pukul10 malam. Anak kecil mendengar ada yang memanggil namanya. Segera dia keluar dari rumah tersebut dan menapak lebih kurang lima belas langkah sebelum berdiri di hadapan pintu rumah yang lain. Rumah anak kecil tadi. Dia menoleh memandang rumah yang baru ditinggalkan. Esok dia mahu ke sana lagi.

to be continued~

1 comment: