*setahun xupdate blog
sambungan dari anak kecil itu
*
cuma yang jelas di ingatan lelaki tua itu sudah pergi mengadap Ilahi. Sebak di dada tatkala melihat wajah putih bersihnya dibalut kain kafan itu masih jelas terasa. Hanya dia yang jadi tumpuan hari itu. Aku berada di perhimpunan sekolah waktu itu apabila dipanggil warden bertugas. Setelah selesai masalah dengan warden,disebabkan tidak ada 'buku merah' keluar masuk asrama, (ya saya budak rebellious) dapatlah melepasi pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling atau lebih mesra dikenali Sekolah Batu 42 oleh orang-orang kampung sekelilingnya.
Pertama kali aku menghadapi situasi keluarga terdekat meninggal dunia. Bukan datuk atau nenek kandung, tapi datuk saudara yang sangat dihormati. Yang dekat juga di hati. Aku cuma mengenalinya sejak umur 10 tahun apabila dia bertungkus lumus membina rumah di tapak sebelah rumah tua aku. 5 tahun cuma dapat ku selami peribadinya. Bekas ahli Tabligh ini sangat rendah hatinya. Seorang yang alim.Keimanan dan kecintaan pada Allah dan RasulNya jelas melalui tingkah lakunya. Melalui kaca mata anak kecil itu.
Aku hormati dia. Setiap kali memasuki kenderaan miliknya, yang menghantarku pergi dan pulang dari sekolah rendah, dia mulakan dengan membaca doa naik kenderaan bersama-sama. Dibacanya bersama-sama agar ingat bacaan itu dan memohon perlindungan Allah sepanjang perjalanan. Jika tidak kerana dia, mungkin anak itu tidak ingat doa tersebut sehingga ke hari ini. Beberapa perkara yang ku ingati tentang dia termasuklah membaca ta'lim(pengajian) setiap malam kepada seluruh ahli keluarga, berpuasa penuh di bulan Rejab dan Syaaban, solat berjemaah di masjid setiap waktu dan lemah lembut dan berhikmah dalam berkata-kata. Anak-anaknya dididik sempurna. Kebanyakkan menantu lelaki terlibat dalam dakwah Tabligh atau mengajar di pusat-pusat pengajian. Anak-anak perempuan berjubah,bertudung litup dan berpurdah. Sudah tentu terasa kerdilnya aku di kalangan mereka.
Aku paling sayang nenek saudara, isteri lelaki tua itu. Dia kuat. Kuat semangat, kuat dalam mempertahankan pendiriannya. Juga dihormati di kalangan penduduk kampung. Pernah bertugas sebagai tukang masak di kem tentera menjadikan dia dan lelaki itu tegas dalam perbuatan dan kata-kata mereka. Berupaya memandikan jenazah perempuan di kampung-kampung berdekatan. Yang mana aku rasa tidak mudah dilakukan oleh sebarangan orang. Cuma mereka yang layak. Cuma mereka yang cukup ilmu. Cuma mereka yang kuat.
Lusa aku akan pulang ke rumah. Paling dinanti untuk peluk cium wajah tua nenek itu. Mahu berjalan ke masjid bersama-samanya. Walau selalunya dia yang ligat meninggalkanku. Harapanku agar Allah panjangkan umurnya. Dia aktif dalam jemaah masjid. Orang kuat yang mengendalikan hal ehwal muslimat. Moga dia masih mampu berbuat begitu lagi. Ramadhan ini, aku mahu lebih mengenalinya. Mengutip cebisan-cebisan ilmu yang bermanfaat. Duduk bersama-samanya menunaikan solat terawih, duduk bersama-samanya dalam tilawah Al-Quran. Aku tidak mahu sejarah berulang lagi. Apabila seseorang yang berilmu telah pergi, baru aku terkilan. Kenapa aku tidak belajar darinya. Kenapa aku tidak mengambil manfaat dari hidupnya. Kenapa aku tidak cuba menjadi solehah sepertinya.
Anak kecil itu adalah aku. Yang menilai dari kaca mata yang telus. Kadang-kala Allah berikan kita orang-orang yang soleh dan solehah moga-moga kita mendapat manfaat dari mereka. Moga apabila memandang wajah mereka, teringat Allah. Itulah yang terbaik.
Ibu, aku rindu. Tiga hari lagi kita ketemu ;D InsyaAllah. Mahu aku memelukmu dengan erat, tak mahu terpisah jauh lagi. Tak mahu merajuk lagi. Aku sedar redha Allah terletak kepada redha ibu bapa. Maaf dipinta jika banyak berbuat silap. Mahu kucium wajahmu yang redup itu puas-puas.